Filled Under:

TERKINI : Perdana Menteri tidak bersalah, kata peguam .....



PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana RM2.6 bilion.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada sidang media sebentar tadi, berkata beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

Kertas siasatan berkenaan termasuk satu berkaitan kes yang dikatakan membabitkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International (SRC) yang sudah dikemukakan kembali kepada Apandi oleh SPRM.

"Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, saya berpuas hati bahawa keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri sebenarnya berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion).

"Dana berkenaan yang dimasukkan di antara tarikh 22 Mac 2013 dan 10 April 2013 adalah sumbangan peribadi kepada Perdana Menteri daripada keluarga diraja Arab Saudi dan diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.

"Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan menemui dan merakamkan percakapan saksi termasuk pemberi sumbangan dana terbabit yang mengesahkan sumbangan diberikan kepada Perdana Menteri secara peribadi," katanya.
Sementara itu, berhubung dua kertas siasatan berkaitan SRC, Mohamed Apandi berpuas hati tiada terzahir apa-apa kesalahan atas beberapa alasan.

Katanya, mengikut Akta SPRM 2009, tiada apa-apa keterangan menunjukkan Perdana Menteri menyalahgunakan kedudukan beliau ketika mesyuarat jemaah menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

"Keterangan juga menunjukkan bahawa proses kelulusan pinjaman oleh Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat jemaah menteri dibuat secara teratur.
"Tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan Perdana Menteri meminta atau dijanjikan apa-apa suapan daripada mana-mana pihak sebelum, semasa atau selepas keputusan jemaah menteri dibuat," katanya.

Mohamed Apandi berkata, daripada keseluruhan keterangan yang membabitkan apa juga keputusan atau tindakan, tidak menggambarkan apa-apa konflik kepentingan oleh Perdana Menteri.

"Pihak SPRM sendiri mengakui berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah," katanya.
Mengikut Kanun Keseksaan, Mohamed Apandi berkata, tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan Perdana Menteri mengetahui atau dimaklumkan bahawa terdapat kemasukan wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau.

Selain itu, katanya, tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan Perdana Menteri memberikan apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC ke dalam akaun beliau.
Beliau berkata, keterangan menunjukkan bahawa pada masa yang berkenaan, Perdana Menteri mempercayai segala pembayaran dibuat oleh beliau adalah menggunakan wang sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi yang dipindahkan ke dalam akaun beliau sebelum itu.

"Berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, saya sebagai pendakwa raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Perdana Menteri berkait ketiga-tiga kertas siasatan terbabit.
"Pada hari ini, kertas siasatan berkaitan akan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ketiga-tiga kertas siasatan ditutup (NFA/KUS)," katanya.




0 comments:

Post a Comment