Filled Under:

Lutfi Lokman : "Takkan pergi klinik kesihatan pun mengeluh bang?"



Semalam, viral satu tweet tentang perempuan ni tak pandai berdikari. Pergi klinik pun suami kena temankan. Di sini, saya ingin berkongsi pendapat saya tentang 'Kenapa suami perlu temani isteri ketika ke klinik kesihatan atau sewaktu dengannya'. Ia mungkin tidak sama dengan pengalaman anda. Namun, saya hanya berkongsi. 

1. Isteri membawa anak selain anak yang dikandung. Kasihan kepada mereka perlu mengawal anak-anak yang lain. Anak-anak masih lagi ingin bermain dan tidak akan melekat semata-mata di kerusi. Ia boleh mengakibatkan si isteri terpaksa mengawasi anak-anak di samping mata dan telinga tidak lepas pandang dari menunggu nombor dipanggil.

2. Kembali kepada tanggungjawab. Memeriksa kandungan, bukan hanya sekadar tanggungjawab isteri. Si suami juga harus bertanggungjawab untuk mengetahui perihal kandungan. Perihal kesihatan antara ibu dan anak. Bukan sekadar pandai membuat anak dan melepaskan sahaja tanggungjawab sambil menunggu kelahiran. 

3. Isteri yang mengandung, kebiasaannya akan kerap ke tandas. Mereka perlu membawa beg tangan yang besar gedabang, buku rekod kesihatan, ditambah dengan anak-anak yang dipangku. Takkan perlu bawa kesemuanya dalam tandas. Tandas di klinik pun bukan semua macam tandas di rumah. Ia adalah tandas awam. Tali tarik pam air pun kadang-kadang boleh tiada. 

4. Ia adalah bukti kasih-sayang dan cinta seorang suami kepada isteri. Biar suami saksikan sendiri betapa seksanya untuk menjalani pemeriksaan, rawatan, kandungan, anak-anak yang perlu diperhatikan jika ada demam dan sakit. Supaya suami lebih menghargai penat-lelah isteri yang berkorban masa, jiwa dan tenaga dalam menghadapi kesemua perkara rutin di atas.

5. Bukan semua klinik kesihatan mempunyai ruangan parkir yang mencukupi. Ada yang perlu memarkir sejauh 1km untuk mencari ruangan parkir yang sesuai dan tidak mengganggu lalulintas. Bayangkan membawa kandungan atau anak-anak kecil dalam kepanasan tengahari dan berjalan sejauh 1km atau lebih? maka, suamilah yang berhak untuk menghantar dan mencari parkir lalu menemani isteri di dalam ruangan menunggu atau boleh sahaja menunggu di dalam kereta asal suami ada dalam memberi kekuatan dan sokongan kepada isteri. 

6. Anak-anak ada yang lapar semasa menunggu. Kau tak boleh sangka datang pukul 10 pagi, pukul 10.05 minit dah siap. Kadang-kadang ada yang terpaksa menunggu hingga jam 4 petang. Lebih-lebih lagi ketika peak hour. Maka, si suamilah yang harus berkejar membeli makanan sekurang-kurangnya sekeping nugget yang biasanya ada dijual di ruangan luar klinik untuk diberi kepada anak-anak yang kelaparan. Ah! Emak pun lapar juga tu.

7. Bukan semua isteri ada belajar tentang ilmu sains dan rumahtangga. Atau alam dan manusia. Mereka juga kadang-kadang buntu tentang istilah-istilah sains dan perubatan yang mengelirukan. Suami berguna untuk mencatat, kalau sempat google, atau mengingati apa sahaja yang dimaklumkan oleh doktor kepada isteri anda. Bonus jika anda sendiri tahu tentang pelbagai istilah tersebut. 

8. Suami sendiri baca facebook 2,3 kali scroll ke bawah dan akan tekan home atau kembali kepada news feed walaupun kadang-kadang bukan ada update terbaru dari rakan-rakan facebook. Namun, tetap tangan itu menekan button news feed. Jadi, apa salahnya anda temani isteri anda untuk kesekian kalinya walau anda menganggap ia adalah pekerjaan yang membosankan. Sama juga macam tekan button news feed. Malahan pekerjaan ini lebih jauh berharga dan bakal mendapat ganjaran daripada Ilahi. 

9. Masuk berjumpa doktor atau jururawat yang mempunyai saiz bilik tidak lebih dari 10'x10' menyebabkan anda tidak dapat masuk ramai ke dalam bilik tersebut. Di sini fungsi seorang suami yang perlu menjaga anak-anak lain di luar bilik tersebut. Kalau ada 5 orang anak? Mau jadi taman permainan kanak-kanak dalam bilik doktor. 

10. Kata lautan api sanggup ku renangi? takkan pergi klinik kesihatan pun mengeluh bang?

like dan share jika bermanfaat. 

ikhlas,
Lutfi Lokman
Suami kepada isteri nan satu dan baharu balik dari klinik kesihatan tadi.




0 comments:

Post a Comment