SUNGAI PANJANG: Semalam kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya melibatkan seorang pelajar perempuan di mana dia telah kehilangan kedua-dua belah kakinya selepas digilis oleh sebuah lori tanah dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak selepas pelajar tersebut dikatakan jatuh atas jalanraya kerana dihimpit sebuah kereta jenis Produa Kancil.
Kejadian berkenaan menjadi viral di laman sosial di mana rata-rata netizen melahirkan rasa simpati dengan pelajar berkenaan dan mereka mahu pihak yang terlibat dihukum dengan setimpalnya.
Selepas kemalangan, kereta jenis Produa Kancil berkenaan telah melarikan diri manakala pemandu lori tanah tersebut dikatakan telah membuat laporan polis Sabak Bernam.
Sumber Gambar: Huzaini Sahrin(abang mangsa)
Kami cuba menghubungi bapa tiri mangsa Roslan Bin Sardi, 40, di mana dimaklumkan bahawa Nuraisyah adalah anak tirinya yang telah dibela sejak kecil lagi.
Menurut Roslan, pagi ini anak tirinya itu bertanyakan kepada isterinya satu soalan yang agak susah untuk dijawab.
"Mak, boleh ke kaki saya tumbuh balik?," soalan yang membuatkan isterinya, Maimunah Binti Md Razalli tidak dapat berkata apa.
"Walaupun dia anak tiri saya, saya memang terasa dengan apa yang berlaku kepadanya kerana dia tinggal dengan saya sejak kecil lagi, dah macam anak sendiri"
"Saya sungguh kagum dan pada sama malu dengan Nursisyah , dia memang kuat kerana ketika kejadian dimana dia tidak menagis sedikit pun walaupun kehilangan kaki dan cedera teruk, sebaliknya senyap dan termenung, kalau saya di tempat dia sudah pasti saya meraung," ceritanya ketika dihubungi oleh Siakapkeli.
Ketika ditanya apa yang sebenarnya terjadi dan salah siapa, beliau memberitahu bahawa kejadian ini adalah takdir.
"Nak salahkan driver pun benda dah jadi, apa yang terjadi adalah ketentuanNya untuk kejadian ini terjadi, kalau diikutkan kereta Kancil berkenaan memotong anak saya dan pemandu kereta Kancil itu brek mengejut membuatkan anak saya jatuh dan lori datang dari depan tidak sempat mengelak dan melanggar anak saya."
"Pihak polis semalam telah menghubungi saya dan mengesahkan pemandu lori dan membuat laporan di Balai Sabak Bernam dan pemandu kereta Kancil tersebut sudah menyerah diri di mana pemandunya adalah seorang wanita, dia melarikan diri(meneruskan perjalanan) kerana dikatakan terkejut dan terkedu," cerita Roslan lagi.
Memetik laporan Sinar Harian pula, seorang penduduk kampung yang sempat menyelamatkan mangsa, Jamalulail Md Alias, 52, menceritakan detik beliau apabila sampai ke tempat kejadian.
Selepas kejadian dia telah dimaklumkan oleh anaknya melalui aplikasi WhatsApp kira-kira jam 3.15 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.
Beliau melahirkan rasa hiba apabila sampai ke lokasi kejadian di mana melihat banyak cebisan daging yang berselerakan di atas jalan dan mengutipnya.
"Walaupun itu bukan anak saya, tapi perasaan saya hiba setiap kali saya kutip cebisan daging yang berselerakan atas jalan raya."
"Semasa saya sampai ke lokasi kejadian, saya melihat pihak perubatan sedang membarikan bantuan kecemasan terhadap mangsa sambil saya terus mengutip daging bertaburan menggunakan kertas surat khabar."
"Saya masukkan daging yang dikutip ke dalam plastik. Masa tu saya tak fikir apa, melainkan dalam hati berdoa supaya dia (mangsa) selamat," katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Mangsa, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, putus kedua-dua belah kaki dan dikatakan membonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5 bersama kakak tirinya, S Shamim Amira Roslan, 14 , yang hanya mengalami terseliuh kaki kiri dan kanan apabila tercampak ke tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Parit 16 Sungai Panjang.
"Sebelum kejadian, sebuah Perodua Kancil dipercayai memintas motosikal mangsa dari arah sama sebelum kedua-dua mangsa tergesel lalu terjatuh.
"Pelajar tingkatan satu terbabit jatuh ke tengah jalan sebelum sebuah lori dari arah bertentangan sampai di tempat kejadian lalu menggilis kaki mangsa , manakala kakaknya tercampak di kiri jalan," katanya.
Katanya, Siti Nuraisah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaaah (HTAJ) Sabak Bernam sebelum dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut.
Sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 0332242613 bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 comments:
Post a Comment