Proton nampaknya sudah hampir pasti akan memasang kenderaan model Suzuki dengan jenama Proton. Ini sememangnya satu perkembangan yang dinantikan setelah Suzuki Automobiles dan Proton menandatangani perjanjian kolaborasi dan langkah pertama yang diambil ialah penghentian penjualan model Suzuki baru dan pusat pameran Suzuki bertukar menjadi pusat pameran Proton.
Suzuki sememangnya pakar dalam kenderaan kompak, dan paling penting, dan Suzuki sudah mempunyai model-model terbukti yang dijual di banyak negara seperti India, Indonesia dan lain-lain. Dalam erti kata lain, kenderaan dari Suzuki lasak dan menjimatkan.
Careta dimaklumkan oleh sumber dalam industri bahawa Suzuki hanya membenarkan Proton memasang model-model Suzuki yang sudah mempunyak pek CKD. Ini bermakna, model-model JDM (model khusus untuk pasaran Jepun) berada di luar jangkaun Proton. Model Alto diberitakan tidak begitu kompetitif untuk Proton memasangnya kerana model Axia dari Perodua sudah bertapak kukuh di dalam segmen tersebut.
Antara model yang disebut akan menjadi model kolaborasi pertama Suzuki-Proton ialah model Ertiga terbaharu. Dari segi saiz, Ertiga terletak di antara Perodua Alza dan Proton Exora. Jadual di bawah dapat membantu.
Dari segi rekabentuk, Exora dan Alza nyata sudah perlu pembaharuan. Facelift ringan tidak dapat membantu, dan kerana itu Careta menjangkakan Proton akan melakukan perubahan besar kepada Exora (major facelift) sementara tiada berita dari Perodua mengenai Alza lagi.
Dari segi harga, Exora nyata paling tinggi pada RM65,622. Namun, Exora ialah MPV paling besar, paling lengkap dan paling bertenaga di antara ketiga-tiga model ini. Sebenarnya, Proton ada menjual Exora dengan enjin CPS pada harga RM55,500 tetapi khabarnya model dengan spesifikasi teksi itu sudah habis terjual.
Jadi apa akan jadi kepada Exora sekiranya Proton melancarkan Proton Ertiga di Malaysia nanti?
Pada pendapat Careta, Proton mungkin akan meletakkan Ertiga sebagai saingan hebat kepada Toyota Avanza dan Perodua Alza. Bagi Exora, ia akan dibaik pulih dan varian baru akan nampak lebih cantik, lebih lengkap dengan tambahan aksesori dan harga yang lebih tinggi, meletakkan ia hampir kepada model MPV besar lain seperti Toyota Innova ataupun model MPV kompak Jepun seperti Nissan Grand Livina.
Mungkin anda ada pendapat lain? Apa kata kongsikan bersama Careta di sini.
0 comments:
Post a Comment